Kenal pasti 6 jenis penipuan @ scammer yang popular di Malaysia


Cuba tengok secreenshot berita ni. 

Mak aiii... punya la banyak kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia ni akibat scammer2 laknat ni. Ini baru statistik untuk tahun 2022. Tak tengok lagi tahun 2021. Pada tahun 2021, ketika negara kita masih berperang dengan COVID, dilaporkan kerugian akibat kes jenayah siber yang dikategorikan sebagai kes jenayah komersial ni adalah sebanyak 2.2 billion. Ternganga tengok. Ini untuk kes yang dilaporkan je. Kalau campur kes yang tak dilaporkan kerana malu mungkin jauh lebih tinggi.

Bayangkan simpanan yang korang ada sekarang ni lesap dalam sekelip mata disebabkan satu panggilan telefon saja. Bunyi macam pelik tapi inilah realiti yang terjadi pada mangsa kes penipuan scammer. Pernah tak korang baca artikel berita tentang mangsa penipuan scammer dan terfikir “macam mana boleh senang-senang kena tipu”? Haa cakap senang tapi percayalah kalau korang berada dalam situasi yang sama tanpa menyedari taktik scammer ini, korang juga berkemungkinan besar akan menjadi mangsa.

Dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih sekarang ini, macam-macam taktik yang lebih kompleks digunakan oleh scammer di Malaysia ini. Scammer ini bijak memperdaya dan meyakinkan mangsa untuk berkongsikan maklumat peribadi atau terus melakukan transaksi. Mari kita kenal pasti 6 jenis penipuan siber atau scammer yang popular di Malaysia.

1) Macau Scam


Pertama dalam senarai merupakan antara penipuan yang mempunyai jumlah mangsa yang sangat tinggi sehingga ke hari ini yang melibatkan macau scam. Macau Scam atau sindiket penipuan Macau ini bermula di tiga buah negara iaitu Taiwan, China dan Hong Kong yang mana sebenarnya anak tempatan kita sendiri yang menjadi scammer ni. Scammer akan menggunakan teknik spoofing panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai sama ada dari mahkamah, bank atau balai polis. Baru-baru ni pula, mereka mula menyamar sebagai pekerja J&T yang kononnya ada barang terlarang dalam parcel yang menggunakan maklumat kita. 

Tambahan pula, bilangan kes penipuan Macau telah meningkat terutamanya semasa wabak pandemik COVID-19 apabila ramai individu yang kekurangan wang dan hilang sumber pendapatan utama mereka. Sehingga hari ini, sindiket Macau Scam ini masih lagi mampu memperdayakan ramai mangsa baharu termasuk telah menipu rakyat Malaysia berjumlah berpuluh billion sehingga tahun 2023 ini.

Penipuan scammer ini boleh berlaku kepada sesiapa saja. Ingat, jangan sesekali panik apabila mendapat panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai rasmi dari sebuah institusi mahupun inspektor polis atau sebagainya. Polis takkan sesekali menyiasat kes melalui panggilan Telefon dan jika korang tak pernah melakukan apa-apa kes jenayah, tak perlu takut dan panik. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara pihak yang memperhebatkan usaha memerangi sindiket penipuan melalui pengenalan halangan teknikal (technical barriers) yang berhasil menghalang hampir 1.6billion panggilan.

Walau bagaimanapun, jangan sesekali korang dedahkan sebarang maklumat peribadi korang kepada mana-mana individu yang tidak dikenali iaitu nombor kad pengenalan, nombor akaun bank atau nombor kad kredit yer.

2) Scam Pinjaman Online


Seterusnya, jangan mudah terpedaya dengan maklumat mengenai kadar faedah 0% dan dijamin kelulusan pinjaman 100% kerana ada scammer yang menyamar menjadi platform pinjaman dengan menggunakan nama syarikat yang dipercayai untuk menarik mangsa membuat pinjaman dengan mereka. Scammer akan meminta bayaran pendahuluan atau deposit kononnya untuk tujuan pemprosesan. Buat pengetahuan korang, tiada pemberi pinjaman yang sah akan meminta peminjam membayar apa-apa sebelum peminjam menerima pinjaman.

Selain itu, scammer pinjaman juga akan mendesak korang untuk membuat keputusan dengan terburu-buru dan korang akan menerima tawaran walaupun tidak memohon pinjaman dari mana mana. Korang akan menerima panggilan atau emel dari scammer yang mengatakan bahawa korang layak meminjam dengan kadar faedah yang rendah. Scammer akan menyasarkan individu yang mempunyai rekod CCRIS & CTOS yang teruk dan yang sangat memerlukan wang.

3) Parcel Scam


Adakah korang selalu shopping secara online? Memang seronok bila membeli barang secara online ni. Klik, klik saja di telefon kemudian akan ada kurier yang akan menghantar parcel sehingga depan pintu rumah korang. Tapi sekarang ni, korang perlu beringat dan berhati-hati kerana ada sindiket yang dipanggil sebagai scam parcel. Sebagai contoh, scammer perkhidmatan COD akan menipu pelanggan untuk membayar sesuatu yang mereka tidak beli dan sekiranya korang menerima barang COD tetapi korang tak order, jangan pula membayarnya kerana itu adalah taktik scammer.

Bukan tu saja, malah ada juga scammer yang akan menyatakan bahawa penghantaran tidak boleh dibuat ke rumah mangsa dan scammer ni akan cuba meyakinkan mangsa bahawa parcel ini datang dari keluarga atau rakan mangsa. Kemudian, mangsa diminta untuk memeriksa emel dan klik satu link yang berbahaya. Akibatnya, maklumat peribadi mangsa akan tersebar.

4) Love Scam


Scammer ini agak popular juga di negara kita. Wanita terutamanya selalu menjadi mangsa. Dorang ni aktif di media sosial seperti Facebook dan juga Instagram. Pandai tau dorang ni, ada yang menggunakan gambar profile menampakkan muka yang agak berpotensi untuk wanita mula jatuh cinta (kacaklah kiranya).

Tetapi bila mula chat, memang keluar habis ayat ‘google translate’ dorang tu.Kelakar pula tapi jangan tak tahu, ramai yang ‘termakan’ dengan ayat dorang ni tau. Kalau dorang ni jumpa mangsa yang tepat, memang habislah! Nak pula kalau terjumpa wanita yang kesepian dan terdesak mencari cinta.

Taktik dorang ni, pada mulanya mencuri hati, lepastu dorang mula lah mencuri wang anda. Mereka kemudian akan memperdaya anda dengan kata-kata manis mereka dan berharap anda akan jatuh cinta dengan mereka. Kemudian, untuk menunjukkan cinta mereka kepada anda, scammer ini akan cakap dorang nak hantar hadiah mahal kepada anda. Fuh, bukan main yer.

Tapi awas! Hadiah yang dorang nak hantar tu tadi kononnya tersekat di kastam di lapangan terbang. Jadi, dorang akan meminta anda memindahkan sejumlah wang untuk mendapatkan hadiah tersebut. Kalau anda nak tahu, ada juga sesetengah scammer yang mewujudkan dokumen palsu lagi bagi memperdaya mangsa untuk mempercayai scammer ini. Hebat kan permainan dorang?

Jangan sesekali kongsikan maklumat peribadi dengan orang yang tidak dikenali seperti nama penuh anda, alamat tempat tinggal ataupun tarikh lahir anda okay? Ini antara kes yang membuatkan seorang wanita kehilangan RM500,000!

Anda beringatlah bahawa jangan memindahkan wang kepada orang yang anda tidak kenali atau tidak pernah berjumpa dengannya. Jangan dedahkan nombor akaun bank anda, nombor kad kredit/debit anda. Kalau anda berasa ada sesuatu yang tidak betul atau mencurigakan, lebih baik laporkan kepada pihak berkuasa.

5) Scam kerja part time


Korang selalu tak dapat mesej dengan ayat seperti ni? “Kerja Mudah Dari Rumah!” “RMXXX-RMXXX Seminggu”. Haa, kalau korang nak tahu ini antara scammer skim kerja dari rumah yang menjanjikan pendapatan yang besar untuk kerja yang mudah.

Ramai yang terjebak kerana sekarang ni memang ramai yang cari kerja part time untuk mendapatkan ‘side income’. Bayangkan korang mendapat pekerjaan tetapi sebenarnya ia hanyalah satu taktik penipuan, pasti anda kecewa kan? Jangan mudah tertipu dengan taktik scammer ini yer!

Korang boleh baca salah seorang mangsa yang tertipu dengan scammer ini.

6) Scam Skim Cepat Kaya


Setiap orang mesti ada impian nak jadi kaya kan? Jangan sesekali ambil skim cepat kaya kerana nanti korang akan kena scam. Skim ini menjanjikan pulangan yang sangat masyuk tetapi tak masuk akal. Bunyi macam menarik tapi korang jangan mudah terpedaya kerana skim cepat kaya ini selalunya indah khabar dari rupa. Skim cepat kaya ini selalunya menggunakan taktik Multi-Level Marketing (MLM).

Jadi, kita mestilah berhati-hati dengan penipuan scammer ini kerana dalam keadaan yang ketakutan, scammer ini akan mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap mangsa.

Pelbagai inisiatif dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kegiatan ini seperti menyediakan platform semakan nombor telefon dan nombor akaun bank scammer melalui website http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.


Semakan juga boleh dilakukan melalui dalam talian dengan menghubungi talian maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) 013-2111222 serta melalui laman Facebook Cyber Crime Alert RMT. Langkah ini diambil bagi memudahkan rakyat memeriksa maklumat scammer sebelum membuat sebarang transaksi.

Kesimpulannya, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa dan penting untuk kita tahu bahawa pihak berkuasa tidak berurusan melalui panggilan telefon sepertimana dilakukan scammer. Seharusnya kita lebih berhati-hati dengan tidak memberi maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali. Ia juga penting bagi mengelakkan kita daripada menjadi mangsa kegiatan tidak bermoral ini. Pendek kata, lebih mudah jika ada je panggilan dari nombor tak dikenali jangan jawab atau anda boleh install aplikasi Truecaller yang akan tertera nama yang didaftarkan dengan nombor tu. Lebih selamat.

#malaysiaICTVolunteer
#mcmc
#MIVforschool
#MIV

Post a Comment

0 Comments