10 Tips Penjagaan Kesihatan Mental Guru

Dalam arena pendidikan yang semakin mencabar, seringkali kita terlupa satu perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian iaitu kesihatan mental guru. Guru adalah tonggak utama dalam membentuk generasi masa depan, namun untuk berfungsi dengan cemerlang, mereka juga perlu menjaga kesihatan mental mereka. Berdasarkan statistik permohonan kaunseling oleh guru yang mengalami tekanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), trend dalam tempoh enam tahun menunjukkan peningkatan ketara sehingga 67% bermula pada tahun 2015 iaitu sebanyak 2777 dan seterusnya berterusan meningkat sehingga 2019 sebanyak 4647 permohonan kaunseling oleh guru yang telah dilakukan.

Manakala pada tahun 2020, trend ini dilihat menurun seketika sebanyak 8% namun berterusan meningkat sehingga kini dan membimbangkan institusi pendidikan negaa.

Dalam penulisan kali ini, saya kongsikan 10 tips penting untuk membantu guru menjaga kesihatan mental supaya kekal sihat serta mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam pendidikan kini.


10 Tips Kesihatan Mental untuk Guru:


1. Amalkan Penjagaan Diri: 

Sebelum guru dapat memberikan yang terbaik kepada pelajarnya, mereka perlu memberikan penjagaan terbaik kepada diri sendiri. Contohnya, seorang guru boleh mengisi masa pada hujung minggu untuk melakukan hobi kegemaran seperti berkebun, shopping, bersukan, menonton TV dan sebagainya untuk mengelakkan stress yang berpanjangan selepas penat melaksanakan tugas di sekolah. We deserve it!


2. Sokongan Sosial: 

Guru sering menghadapi pelbagai cabaran berhadapan dengan murid, pentadbir dan ibu bapa. Mempunyai rangkaian sokongan dengan rakan sejawat yang memahami tekanan kerja adalah penting supaya dapat membantu guru melepaskan stres dengan berkongsi pengalaman dan mencari nasihat. Luahkan bebanan dan ketidakpuasan yang ada dengan berkongsi cerita bersama rakan sejawat yang memahami.


3. Senaman: 

Aktiviti fizikal seperti berjogging, berbasikal, atau yoga membantu merembeskan hormon endorfin yang dapat meningkatkan mood guru. Guru boleh memasukkan rutin senaman dalam jadual harian mereka, walaupun hanya selama 30 minit.


4. Tidur Cukup: 

Tidur yang mencukupi penting untuk kecerdasan dan kesihatan mental. Guru yang tidur cukup akan lebih bertenaga dan mampu menghadapi tekanan. Seorang guru boleh merancang jadual tidur yang tetap dan memastikan tidur yang berkualiti setiap malam. Digalakkan menggunakan smartwatch untuk memantau tahap stress dan kualiti tidur.


5. Kawal Stres: 

Guru boleh melatih diri dalam teknik-teknik seperti meditasi dan pernafasan  untuk mengawal stres. Walaupun di dalam kelas semasa waktu pengajaran, ambil lah beberapa minit untuk melakukan pernafasan mendalam apabila merasa tertekan. Teknik pernafasan penting untuk mengurangkan stress dan membolehkan kita dapat berfikir dengan lebih baik.


6. Jangan Terlalu Perfectionist: 

Guru perlu memahami bahawa tidak ada yang sempurna. Menjadi seorang yang perfectionist atau meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada sesuatu akan menjadi pencetus kepada stress apabila yang diharapkan tidak tercapai. Guru boleh mengajar pelajar untuk menghargai usaha dan proses pembelajaran, bukan hanya tertumpu kepada pencapaian dan kecemerlangan semata-mata.


7. Sistematik: 

Jadual yang teratur membantu guru menguruskan masa dengan lebih baik. Guru boleh merancang jadual yang menggabungkan masa untuk kerja, rehat, dan aktiviti lain yang menyeronokkan.


8. Jangan Bawa Balik Kerja ke Rumah:

Melibatkan diri dalam tugasan sekolah di luar waktu bekerja boleh menyebabkan keletihan mental. Atau jika terpaksa, guru boleh menetapkan had masa untuk bekerja di rumah. 


9. Berinteraksi Dengan Pelajar: 

Hubungan yang positif dengan pelajar bukan hanya memberi manfaat kepada pelajar, tetapi juga kepada guru. Guru yang menjalin hubungan baik dengan pelajar mereka merasa lebih puas dengan pekerjaan mereka. Sebagai contoh, guru boleh berinteraksi dengan pelajar di luar kelas, seperti menyertai aktiviti kokurikulum bersama mereka bagi mewujudkan interaksi positif bersama pelajar. Tetapi elakkan menjadikan murid sebagai rakan di media sosial peribadi kerana mungkin akan menimbulkan isu memoengaruhi hubungan baik guru dan murid.


10. Cari Bantuan Profesional: 

Terkadang, guru mungkin berdepan dengan masalah yang memerlukan bantuan profesional. Mencari bantuan kaunselor atau pakar psikologi adalah langkah bijak untuk mengatasi masalah kesihatan mental. Sebagai contoh, jika seorang guru merasa tertekan dengan stress yang melampau, guru boleh mencari bantuan kaunselor yang akan membantu  menguruskan tekanan ini. Permohonan untuk sesi kaunseling boleh dibuat di Kementerian Pendidikan atau Jabatan Pendidikan Negeri. 


Kesimpulan


Kesihatan mental guru adalah aset yang sangat penting dalam sistem pendidikan. Dengan mengamalkan tips di atas dan memahami betapa pentingnya menjaga kesihatan mental, guru dapat menjadi lebih efektif dalam membimbing dan mendidik generasi masa depan. Guru yang sihat mental bukan sahaja memberi manfaat kepada diri mereka sendiri, tetapi juga memberi impak positif kepada pelajar dan masyarakat secara keseluruhannya. Jadi, para guru, berikan penjagaan yang sepenuhnya kepada diri anda - anda berhak mendapatkan penjagaan terbaik.

Post a Comment

0 Comments