"AWAK TAK RASA RUGI KE TUKAR DARI ALIRAN PERDANA KE PENDIDIKAN KHAS NI? SUSAH-SUSAH BELAJAR BIOLOGI KAT UNIVERSITI, TIBA2 JADI CIKGU PENDIDIKAN KHAS"
Hari ni sekali lagi soalan ini diajukan kpd saya dan sekali lagi jawapan yang sama tanpa teragak-agak saya berikan "SIKIT PUN TAK RASA RUGI". Sepanjang 8 tahun tahun bergelar guru pendidikan khas, sekelumit penyesalan pun tak pernah singgah dlm hati atau terlintas dlm fikiran.
Saya bersyukur kerana permohonan saya utk bertukar ke aliran pendidikan khas 8 tahun lepas diluluskan dgn alasan yang mudah iaitu untuk menimba pengalaman baru. Saya merasakan diri saya bertuah memandangkan tak ramai yang berpeluang untuk mengecapi nikmat sebagai guru pendidikan khas kerana untuk menjadi guru pendidikan khas, bukanlah sama seperti guru-guru biasa. Selain memerlukan kesabaran yang tinggi, banyak perkara lain yang perlu ada dalam diri seorang guru tersebut termasuklah ketahanan mental yang kuat.
Apabila membuat keputusan melibatkan diri dalam dunia pendidikan khas, saya pasti saya sebenarnya telah mengambil langkah yang terbaik bagi mempertingkatkan diri ke arah salah satu cabang pendidikan. Saya masih lagi seorang GURU dan masih lagi bergelar PENDIDIK. Tak ada apa yang rugi malah saya beruntung kerana masih lagi berpeluang mengajar murid arus perdana di kelas2 tuisyen atau kelas tambahan. Cuma bezanya sekarang, saya juga berpeluang mendidik murid-murid yang berkeperluan khas, yang unik dan istimewa sifatnya.
KELEBIHAN BERTUKAR KE ALIRAN PENDIDIKAN KHAS
Kelebihan yang dapat dijanjikan ialah kita tidak mungkin menyesal berjuang bersama-sama dalam bidang pendidikan khas ini. Kita juga tidak akan meratapi dan merindui murid-murid di kelas biasa aliran perdana kerana tidak ada masa untuk memikirkan murid-murid yang lalu kerana dunia pendidikan khas penuh dengan cabaran dan keseronokan.
Menjadi sebahagian daripada dunia pendidikan khas adalah menyeronokkan. Melangkah ke dunia pendidikan khas, misinya cuma satu yakni membimbing anak-anak berkeperluan khas yang bersifat unik dan istimewa. Setiap mereka mempunyai karakter & telatah tersendiri yang pastinya akan meninggalkan 1001 memori untuk dikenang.
Kadangkala, sejak kecil lagi, ada di antara kita sudah ada jiwa yang sebati dan timbul azam untuk berbakti kepada anak-anak istimewa ini. Saya sendiri akhirnya jatuh cinta dengan keistimewaan mereka. Saat paling istimewa adalah merekalah yang mencurahkan ilmu kepada saya sebenarnya. Saya hanyalah pembimbing dalam mencorakkan mereka.
Menjadi guru pendidikan khas, setiap hari adalah hari baru yang penuh cabaran dan keseronokan. Pengalaman bekerja dengan mereka adalah pengalaman yang sukar dicari dalam bidang lain. Perkara ini membuatkan hidup kita lebih bermakna. Melalui tugas sebagai guru yang mendidik anak-anak istimewa ini, membolehkan kita melihat nilai dan cabaran dalam diri individu serta bagaimana mereka berusaha mencapai sasaran yang telah kita tetapkan. Usaha dan kegigihan mereka dalam mencapai sasaran itulah yang menjadikan kita lebih bersyukur pada diri sendiri di samping menimbulkan rasa ingin membantu mereka dengan sedaya upaya kita.
=====================================
Betapa diri terasa istimewa
berada di kalangan ahli syurga
biarpun kadangkala
bicaranya mungkin senyap
butirnya tiada makna
atau kadangkala dia menjerit tiba-tiba.
Sukar rupanya membaca apakah yang ada di mindanya
sekalipun segulung ijazah belum tentu lulus mencuba.
Betapa diri terasa bangga
bila memperkenal diri
sayalah guru yang mendidik
anak-anak syurga.
#matapenacikguAinul
#improudetobeaspecialeducationteacher
#ilovemyjob
1 Comments
Hello cikgu...boleh saya tanya..sy lpsn diploma office management tapi untuk deg sy bercadang nk amik pendidikan khas... Agaknya layak ke tak eh? Takut course yg x kena je
ReplyDelete