Kelonggaran kepada penjawat awam yang mempunyai anak istimewa OKU. Ramai yang belum tahu.

 Tahukah Anda?

Terdapat banyak kelonggaran kepada penjawat awam yang mempunyai anak istimewa (OKU)

Perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh seorang PENJAWAT AWAM yang mempunyai anak OKU ialah:

  1. Sekiranya anda belum mendaftarkan anak istimewa anda dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan kad OKU, segera lah mendaftar anak anda kerana kad tersebut banyak kelebihan dan akan melindungi anak anda.
  2. Kemaskini maklumat anak anda dalam sistem HRMIS 
  3. Maklumkan kepada Ketua Jabatan melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
  4. Kongsikan dengan rakan sekerja bahawa anda mempunyai anak istimewa.
  5. Pastikan dalam fail peribadi anda telah mempunyai maklumat kesemua anak-anak anda termasuk anak istimewa anda.

Jangan sesekali menyembunyikan maklumat anak istimewa anda dan jangan pernah berasa malu memiliki anak istimewa kerana ini melibatkan hak anak istimewa anda kemudian hari. 

KETAHUI 25 KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN MEMILIKI KAD OKU YANG DIKELUARKAN OLEH PIHAK JKM: Sila Klik DI SINI


ANTARA KELEBIHAN-KELEBIHAN PENJAWAT AWAM YANG MEMPUNYAI ANAK OKU IALAH:

1. PENEMPATAN BERDEKATAN KEMUDAHAN OKU

Ibu bapa anak OKU boleh dipertimbangkan untuk tidak ditempatkan di kawasan pedalaman yang kurang kemudahan untuk anak istimewa seperti hospital, pusat pemulihan atau kemudahan pendidikan khas. Jadi penempatan di kawasan bandar yang mempunyai kemudahan yang lebih baik adalah penting untuk perkembangan dan intervensi awal serta kesihatan anak. Bagaimana anak-anak nak dapatkan terapi renang dan terapi berkuda umpamanya jika tempat tersebut pun tiada kemudahan kolam renang atau pusat ekuastrian. Itu belum lagi isu nak pergi ke sekolah, pusat intervensi, hospital yang jaraknya mengambil masa yang lama, kadang-kadang melebihi sejam. Alasan ini perlu diberi perhatian membabitkan penempatan dan perpindahan penjawat awam ke sesuatu lokasi. 

Sebagai penjawat awam, ingat ya, ini bukan ‘hak mutlak’ anda tapi anda boleh cuba memohon. Jika pihak alasan atau Ketua Jabatan anda tidak luluskan, cuba lagi, banyakkan berdoa agar dipermudahkan urusan dan dilembutkan hati pegawai yang menguruskan penempatan. 

Secara logiknya, ibu bapa yang punyai anak istimewa kebiasaannya dikurniakan Tuhan dengan kelebihan tersendiri iaitu lebih banyak bersabar, lebih banyak berserah, lebih banyak bersyukur, lebih banyak membuat kebaikan, lebih banyak memberi, lebih banyak merendahkan hati, lebih banyak motivasi kerana ujian dan cabaran yang dihadapi oleh mereka setiap hari bukan kepalang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun dalam masa yang sama, terdapat juga sebilangan kecil yang mengambil kesempatan untuk kepentingan diri semata-mata, harap anda tidaklah tergolong dalam kumpulan ini, kerana ingatlah, pendapatan anda perlulah pendapatan yang bersih dan berkat, tanpa sebarang salah guna atau sengaja mengambil jalan mudah untuk mengelak dari menggalas tanggungjawab yang telahpun diamanahkan.


2. PEMILIHAN WAKTU BEKERJA

Bagi semua anggota perkhidmatan awam yang mempunyai anak-anak kelainan upaya, kerajaan akan membenarkan mereka bekerja mengikut ‘flexi-hours’ supaya dapat memudahkan urusan kebajikan anak mereka. 

Penting untuk memilih waktu masuk kerja sama ada pukul 7.30am, 8.00am, 8.30am atau 9.00am bagi yang bekerja pejabat terutama bila anak OKU susah tidur malam, lewat bangun pagi dan untuk menghantar anak ke sekolah juga mengambil masa memandangkan tingkah laku dan emosinya yang tidak stabil.

Boleh rujuk pada pekeliling perkhidmatan bilangan 5 tahun 2019 mengenai Waktu Bekerja Fleksibel ini.


3. MENGURUS ANAK PADA WAKTU KERJA

Adakah boleh diberi kebenaran kepada penjawat awam yang mempunyai anak kelainan upaya menggunakan waktu bekerja untuk menguruskan anak-anak mereka? 

Jawapannya, ya, boleh. Dengan menggunakan masa-masa tertentu yang diperlukan dalam Waktu Bekerja biasa mengikut kesesuaian masing-masing seperti surat JPA(S) 1619 Klt. 11(29) bertarikh 30 Ogos 2004. 

Dengan budi bicara dan keprihatinan Ketua Jabatan memberikan kelulusan, anda hanya perlu mengisi HRMIS dan borang meninggalkan pejabat. Walau bagaimanapun, kelulusan dari Ketua Jabatan tetapi diperlukan. Disebabkan itulah, Ketua Jabatan seharusnya dimaklumkan situasi sebenar anda sebagai ibu/bapa yang memiliki anak istimewa.


4. POTONGAN CUKAI BULAN (PCB) DIKURANGKAN

Potongan cukai bulanan juga boleh dikurangkan. Namun, anda perlu mengisi borang dan menyatakan bilangan anak OKU dan anak yang normal. Borang ini boleh diminta pada kerani atau admin masing-masing. Pengiraan untuk PCB anak OKU dikira, 1 anak OKU = 3 anak normal. Boleh rujuk dengan pihak LHDN untuk maklumat selanjutnya.


5. PENCEN TERBITAN

Kerajaan melalui JPA menyediakan pencen terbitan kepada anak OKU bagi penjawat awam yang bersara atau yang telah meninggal dunia. Pencen ini diberikan sepanjang hayat anak OKU berkenaan, jika diluluskan permohonan.

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi melayakkan anak tersebut menerima pencen terbitan kelak ialah:

- Anak tersebut mengidap ketidakupayaan otak, ketidakupayaan anggota atau kecelaruan mental (untuk kes mental, mesti di tahap teruk);

- Ketidakupayaannya kekal;

- Tidak mampu bekerja dan menanggung dirinya sendiri;

- Mengidap ketidakupayaan sebelum mencapai umur 21 tahun; dan

- Mendaftarkan permohonan anak OKU tanggungan pesara melalui borang JPA.BP.UMUM.B04 (boleh didapati di laman portal www.jpapencen.gov.my)

Garis Panduan Permohonan Daftar Anak OKU Tanggungan Pesara boleh didapati di pautan ini:

Adakah anak yang sudah memiliki kad OKU akan secara automatik layak pencen? Tidak. Memiliki kad OKU tidak semestinya layak menerima pencen. 

Pemohon hendaklah memenuhi kesemua syarat-syarat di atas, disahkan oleh Pakar Perubatan Kerajaan dan mendapat pertimbangan daripada Jawatankuasa Penetapan Anak OKU Tanggungan Pesara di JPA.

Anak yang sudah mempunyai Kad OKU tersebut masih wajib memohon dengan melengkapkan borang pengesahan pakar perubatan untuk anak OKU tanggungan pesara. Setelah diluluskan permohonan, barulah layak menerima pencen terbitan, setelah kematian kedua ibu bapanya.

Sebaiknya semasa pegawai hendak bersara, lengkapkan terus borang permohonan ini bersekali dengan borang-borang permohonan persaraan. Jika anda sudahpun bersara atau pesara telahpun meninggal dunia, anak OKU pesara itu masih boleh memohon melalui penjaganya.


6. CUTI SEPARUH GAJI MENJAGA ANAK.

Jika anda atau ada rakan-rakan anda punyai kesulitan menjaga anak OKU yang sakit boleh mohon kemudahan Cuti Separuh Gaji maksimum 180 Hari, tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan. Perlu ada kad OKU, pengesahan doktor atau surat sokongan lain sebagai dokumen sokongan semasa memohon. Dalam borang cuti tersebut terdapat ruangan yang perlu ditanda OKU. Jadi sebelum cuti tanpa gaji, gunakan kemudahan ini dulu. 


7. BERSARA PILIHAN

Jika tiada jalan keluar tentang penjagaan anak OKU disebabkan tiadanya keprihatinan Ketua Jabatan yang tiada empati dalam memberi kelonggaran, ini adalah langkah terakhir. Jadi kalau ditakdirkan perlu berhenti kerja awal pastikan anda layak mendapat pencen. Bersara pilihan layak dapat pencen jika: 

- Berkhidmat 10 tahun (tolak tempoh perkhidmatan yang tidak boleh dimasukkira - cuti tanpa gaji)

- Berusia 40 tahun;

- Bebas tindakan tatatertib;

- Bebas tapisan SPRM; dan

- Disokong oleh Ketua Jabatan.

Contohnya: 

Saya umur 40 tahun dan berkhidmat lebih 14 tahun. Kalau jadi apa2 sebelum tempoh 40 tahun, perlu guna kemudahan cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji. Kalau meninggal sebelum 40 tahun. Anak OKU akan dapat pencen terbitan, jika dia memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan. Perlu diingat wang ganjaran dan GCR boleh dapat pada tarikh bersara pilihan, tapi wang bulanan pencen hanya dapat bila umur 55 tahun (tertakluk kepada tarikh lantikan, jika dilantik sebelum 12.4.1991, maka bagi anggota wanita, pencen dibayar pada umur 45 tahun, bagi lelaki, umurnya 50 akan mula dibayar pencen). 

Sekian perkongsian. Silakan SHARE sebanyaknya terutama kepada rakan-rakan anda yang merupakan OKU atau mempunyai anak OKU di kalangan penjawat awam mahupun pesara.

Ramai yang masih belum tahu berkenaan informasi ini.

Kepada anda yang mempunyai anak-anak istimewa ini, saya doakan anda sekeluarga sentiasa dirahmati dan dipermudahkan segala urusan dalam menggalas tanggungjawab anda sebagai insan yang sangat istimewa kepada anak-anak istimewa anda.

Post a Comment

0 Comments