Tips Pemohonan Google for Education Certified Innovator (GCI)


Program Google Certified Innovator (GCI) adalah platform yang luar biasa untuk pendidik membawa perubahan bermakna melalui inovasi dalam pendidikan. Berdasarkan pengalaman saya, berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk berjaya memohon program ini:

1. Fahami Program dan Tarikh Pemohonan

Program ini biasanya dibuka sekali dalam setahun. Anda perlu sentiasa memantau laman web rasmi Google Certified Innovator Program untuk mengetahui tarikh pemohonan.

Tips: 

  • Tandakan kalendar anda dengan tarikh penting seperti tarikh buka dan tutup permohonan.
  • Pastikan anda telah lulus Pensijilan Google for Education Certified Educator Level 2. Pensijilan ini diperlukan masa pengisian pemohonan. 

Contoh: 

Ketika saya memohon, saya subscribe buletin @ newsletter Google for Education dan menerima pemberitahuan awal tentang pembukaan kohort. Ini memberi saya masa mencukupi untuk menyediakan semua dokumen dan video.


2. Sediakan Jawapan untuk Soalan Pemohonan dengan Teliti

Soalan pemohonan bertujuan untuk menilai inovasi, semangat, dan impak anda dalam pendidikan. Antara soalan utama ialah:

  • Cabaran Visi Anda: Nyatakan satu cabaran yang anda mahu selesaikan.
  • Penyelesaian Anda: Bagaimana teknologi boleh membantu menyelesaikan cabaran itu?
  • Impak Anda: Berikan contoh kejayaan inisiatif anda yang lepas.
  • Pencapaian dan pengalaman anda: Pastikan anda menonjolkan pengalaman dan kejayaan terdahulu anda yang relevan dengan teknologi dan pendidikan.

Tips: 

Gunakan kaedah STAR (Situation, Task, Action, Result)  untuk menjawab.

Contoh Jawapan:

Cabaran Visi: “Ramai murid berkeperluan Pendidikan khas menghadapi kesukaran untuk memahami arahan yang panjang. Saya ingin membangunkan aplikasi mudah yang menggunakan visual dan arahan ringkas untuk membantu mereka.”

Penyelesaian Anda: Saya mencadangkan penggunaan Google Slides dan Canva untuk mencipta bahan pengajaran yang menarik dan interaktif.”

Impak Anda: Dengan menggunakan pendekatan ini, salah seorang pelajar saya, Kaviraj, berjaya memenangi Anugerah Terbaik di International Global IT Challenge for Youth with Disabilities.”

Pencapaian dan pengalaman anda:Saya telah menjalankan bengkel Google Workspace untuk 50 guru di sekolah saya, dan 90% daripada mereka melaporkan peningkatan dalam penggunaan teknologi untuk PdP.”

“Saya mencipta permainan TTV Boardgame untuk membantu pelajar mempelajari kata kerja dan past tense, yang kini digunakan oleh lebih 100 guru di Telegram saya.”


3. Hasilkan Video Berdurasi 90 Saat

Komponen utama permohonan adalah video yang menerangkan isu atau masalah pendidikan yang ingin anda selesaikan.

Panduan Video:

Fokus kepada isu atau cabaran, tanpa mencadangkan penyelesaian isu kerana idea, design & pembinaan prototaip akan dibincangkan semasa sesi setelah anda terpilih. 

Pilihan video:

1. Video rakaman anda bercakap (anda bercakap menerangkan cabaran dan isu).

2. Video grafik/visual (menggunakan ilustrasi untuk menerangkan isu).

Contoh Kandungan Video:

Boleh rujuk VIDEO PEMOHONAN SAYA

"Hai, saya Cikgu Ainul, seorang guru pendidikan khas di Malaysia. Cabaran utama dalam komuniti saya ialah kekurangan bahan pembelajaran khas yang mesra pengguna untuk murid berkeperluan Pendidikan Khas. Saya percaya cabaran ini perlu ditangani dengan kerjasama teknologi dan komuniti."

Tips:

  • Gunakan teks, grafik, atau suara latar untuk menjelaskan isu dengan jelas.
  • Pastikan video anda ringkas tetapi menarik perhatian.


4. Pentingnya Mengisi Pemohonan Lebih Awal

Proses pemohonan GCI memerlukan masa, jadi jangan mengisi tergesa-gesa dan elakkan mengisi pemohonan di saat akhir.

Tips:

Rancang Lebih Awal: Pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya seminggu untuk menyiapkan jawapan, membuat semakan, dan menghasilkan video.

Minta Maklum Balas: Kongsi jawapan dan video anda dengan mentor atau rakan untuk mendapatkan cadangan penambahbaikan. Berdasarkan pengalaman saya, pemohonan saya dibantu oleh mentor saya iaitu Pn Aidaliza Azmi. Saya dibimbing dari mula mengisi pemohonan dan mendapat bimbingan sepenuhnya oleh beliau untuk membina video pemohonan. Bagi Yang berminat, boleh hubungi dan sertai sesi bimbingan bersama beliau. 


5. Memilih Sesi Bimbingan GCI yang Sesuai (Dipilih semasa mengisi pemohonan)

Untuk pemohon dari Malaysia, biasanya pilihan terbaik adalah menyertai Virtual Innovator Academy (VIA) yang berlangsung secara dalam talian. Tetapi pengambilan untuk VIA ini adalah terhad. Setiap tahun hanya 30-40 orang yang layak daripada keseluruhan pemohonan seluruh dunia. Justeru, saingan adalah sengit. 


Fakta Penting tentang VIA dan persediaan yang perlu anda ketahui:

Tempoh: 2 bulan.

Perjumpaan mingguan:


1. 2 jam sesi berkumpulan bersama semua coach dan innovators. Ada 8 sesi keseluruhan. Dalam sesi ini juga, anda dipasangkan bersama affinity buddy di kalangan innovator. Affinity buddy diperlukan untuk saling memberikan sokongan serta maklum balas terhadap idea, design dan prototaip inovasi yang dibina. Sesi berlangsung secara dua hala. Justeru, anda perlu sentiasa aktif sepanjang sesi. 


2. 1 jam sesi kecil bersama coach dan ahli kumpulan (5-6 orang). Masa ditetapkan berdasarkan persetujuan semua ahli kumpulan. Coach akan sentiasa membimbing anda. 

Pemilihan waktu perjumpaan semua innovators biasanya mencabar bagi negara Asia, kerana sesi berlangsung pada waktu awal pagi. Berdasarkan pengalaman saya, kami perlu ikuti sesi VIA pada pukul 12:00 hingga 2:00 pagi dan ada masa pukul 1:00 hingga 3:00 pagi kerana perlu mengikut kesesuaian waktu yang ditetapkan. Biasanya sesi berlangsung pada hari minggu biasa (tidak melibatkan cuti hujung minggu).


Tips:

  • Pastikan anda bersedia dari segi jadual dan stamina untuk menghadiri sesi pada waktu yang di luar kebiasaan anda. 
  • Gunakan kalendar untuk merancang jadual dan tempatkan peralatan seperti komputer, kamera, dan mikrofon di lokasi yang tenang dan sesuai.
  • Pastikan anda bersedia untuk menghadiri keseluruhan 8 sesi kerana kehadiran ke sesi adalah penting dan diambil kira untuk pengiktirafan ini. 
  • Sokongan daripada keluarga sangat penting kerana melibatkan masa kualiti anda bersama keluarga. 


6. Selepas Tamat Program

Setelah berjaya menamatkan sesi VIA, anda akan:

1. Menerima Pensijilan Google Certified Innovator.

2. Menerima merchandise atau hadiah eksklusif GCI.

Merchandise ni adalah untuk VIA24. Tidak sama setiap tahun. 


3. Kemudian anda diberikan masa satu tahun untuk meneruskan projek inovasi anda dalam sesi bersama mentor. Anda akan dibimbing oleh mentor pilihan daripada kalangan Innovator terdahulu.

Tips:

  • Gunakan bimbingan mentor untuk mengembangkan projek inovasi anda dengan lebih mantap.
  • Pastikan projek anda memberi impak yang jelas kepada komuniti.

Kesimpulan

Proses pemohonan Google Certified Innovator memerlukan persediaan yang teliti, kreativiti, dan komitmen. Fokus kepada cabaran yang ingin anda selesaikan, hasilkan video yang memberi impak, dan manfaatkan peluang bimbingan selepas diterima. 

Semoga berjaya dalam permohonan anda!


Post a Comment

0 Comments